El Nino dijangka menguat, beri kesan pertanian, kesihatan, alam sekitar
KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang dijangka berterusan dan menguat menjelang hujung tahun ini berpotensi memberi kesan kepada sektor pertanian, kesihatan serta alam sekitar di Malaysia. Pakar meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim (CPC) di bawah Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), fenomena itu menyebabkan taburan hujan berkurangan antara 10 hingga 20 peratus daripada purata.
KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang dijangka berterusan dan menguat menjelang hujung tahun ini berpotensi memberi kesan kepada sektor pertanian, kesihatan serta alam sekitar di Malaysia. Pakar meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim (CPC) di bawah Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), fenomena itu menyebabkan taburan hujan berkurangan antara 10 hingga 20 peratus daripada purata. Beliau berkata, keadaan itu boleh meningkatkan risiko kemarau dan gelombang haba terutama di utara Semenanjung, namun pada masa sama berpotensi mengurangkan risiko banjir besar di beberapa kawasan berikutan taburan hujan yang lebih rendah. "Fenomena ini juga mempunyai kesan positif yang jarang diberi perhatian apabila cuaca panas merangsang aktiviti pembungaan menyeluruh di hutan, sekali gus bakal menghasilkan bumper harvest buah-buahan hutan seperti durian dan ara untuk hidupan liar. "Namun, cuaca panas secara tidak langsung akan meningkatkan risiko demam denggi dalam komuniti berikutan kitaran pembiakan nyamuk Aedes yang lebih cepat," katanya kepada BERNAMA. Beliau berkata, orang ramai dan sektor berkaitan perlu menyesuaikan aktiviti serta pengurusan sumber air mengikut kitaran El Nino-Southern Oscillation (ENSO) yang lazimnya berlaku setiap dua hingga lima tahun, bagi mengurangkan kesan cuaca kering. Sementara itu, dari aspek kesihatan pula, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata El Nino berpotensi meningkatkan risiko strok haba, dehidrasi serta komplikasi penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes serta tekanan darah tinggi. "Kumpulan rentan paling berisiko terjejas termasuk kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung serta pekerja yang terdedah kepada cuaca panas seperti petani, pekerja binaan dan pengawal keselamatan kerana keupayaan tubuh untuk menyesuaikan diri dengan haba adalah lebih rendah. "Selain itu, kesan tidak langsung fenomena itu turut membabitkan kualiti udara dan air apabila cuaca panas dan kering meningkatkan risiko jerebu akibat kebakaran hutan serta tanah gambut, selain menjejaskan fungsi pernafasan terutama pesakit asma dan golongan sensitif," katanya. Dalam pada itu, Ketua Laboratori Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Haliza Abdul Rahman, berkata El Nino turut memberi kesan terhadap ekosistem marin negara apabila peningkatan suhu laut mencetuskan fenomena pemutihan karang. Pakar alam sekitar itu berkata, keadaan itu menjejaskan habitat pelbagai spesies laut yang bergantung kepada terumbu karang sebagai sumber perlindungan dan makanan. "Sekiranya kejadian seperti ini menjadi lebih kerap akibat perubahan iklim, habitat semula jadi akan terus mengecil dan terpecah-pecah serta meningkatkan risiko penurunan populasi serta kepupusan spesies yang bergantung kepada persekitaran lembap," katanya. © New Straits Times Press (M) Bhd
📌 Kaynak
Bu özet Malaysia kaynağından otomatik derlenmiştir. Tamamı için orijinal habere gidin.
Orijinal haberi oku →