Rupiah terus merosot ke paras terendah dalam sejarah ditekan kebimbangan pelbagai isu

💰 Ekonomi 📰 Berita Harian (MY) 🕐 az önce
Rupiah terus merosot ke paras terendah dalam sejarah ditekan kebimbangan pelbagai isu

BENGALURU: Rupiah Indonesia merosot ke paras terendah baharu sepanjang masa hari ini berikutan kebimbangan terhadap pelbagai isu termasuk lebihan dagangan yang semakin mengecil dan inflasi yang didorong oleh kenaikan harga minyak, manakala won Korea Selatan menjunam ke paras paling lemah dalam tempoh 17 tahun. Pelabur menarik diri secara agresif daripada indeks yang banyak dipengaruhi saham teknologi di Seoul dan Taipei selepas pengeluar cip, Broadcom mengumumkan keputusan ya

BENGALURU: Rupiah Indonesia merosot ke paras terendah baharu sepanjang masa hari ini berikutan kebimbangan terhadap pelbagai isu termasuk lebihan dagangan yang semakin mengecil dan inflasi yang didorong oleh kenaikan harga minyak, manakala won Korea Selatan menjunam ke paras paling lemah dalam tempoh 17 tahun. Pelabur menarik diri secara agresif daripada indeks yang banyak dipengaruhi saham teknologi di Seoul dan Taipei selepas pengeluar cip, Broadcom mengumumkan keputusan yang mengecewakan, sekali gus mencetuskan gelombang jualan saham teknologi di peringkat global. Selera risiko pelabur turut terjejas akibat kurangnya kemajuan dalam rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Indeks KOSPI Korea Selatan merudum sehingga tujuh peratus, dengan pengeluar cip Samsung Electronics dan SK Hynix masing-masing susut lapan peratus. Saham di Taiwan pula jatuh 1.7 peratus, dengan TSMC merosot satu peratus. Kerugian di Taiwan dan Korea Selatan menyebabkan penanda aras ekuiti Asia Pasaran Membangun MSCI susut lebih tiga peratus, menjadikannya sesi dagangan terburuk dalam tempoh tiga minggu. Penunjuk yang menjejaki saham ASEAN turut menurun sedikit pada hari ini, namun berada di landasan untuk mencatat kerugian bagi minggu keempat berturut-turut. Sementara itu, bank pusat India mengekalkan kadar repo dasar tanpa perubahan dan memilih untuk tidak terlalu memberi perhatian kepada kelemahan rupee. Indeks Nifty 50 meningkat sedikit, manakala rupee stabil dan mengukuh selepas kerajaan mengumumkan pengecualian cukai keuntungan modal ke atas sekuriti kerajaan bagi pelabur asing. Rupiah dibuka pada paras rekod terendah 18,050 berbanding dolar AS sebelum didagangkan pada sekitar 18,035, menjadikan kerugian mingguannya hampir satu peratus. Mata wang itu melepasi paras psikologi penting 18,000 pada Khamis dan dijangka mencatat kejatuhan untuk minggu ke-10 berturut-turut. Rupiah telah kehilangan kira-kira 7.6 peratus nilainya setakat tahun ini walaupun bank pusat telah melakukan beberapa kali campur tangan, termasuk semalam, menjadikannya mata wang berprestasi paling buruk di Asia. "Walaupun saham Indonesia telah mengalami kejatuhan yang ketara, masih terdapat kekurangan pemangkin positif dalam jangka masa terdekat," kata Timbalan Ketua Pegawai Pelaburan Asia di BNP Paribas Wealth Management, Grace Tam. "Ketidaktentuan dasar domestik serta risiko luaran daripada kejutan harga tenaga akan terus menjejaskan sentimen pelabur." Indeks Komposit Jakarta jatuh untuk hari ketiga berturut-turut, susut hampir tiga peratus. Ia telah merosot 34 peratus sepanjang 2026, termasuk kira-kira tujuh peratus minggu ini, menjadikannya pasaran saham paling lemah di rantau ini. Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu kini berdepan kemerosotan keyakinan pelabur susulan kebimbangan fiskal, isu tadbir urus pasaran ekuiti yang diketengahkan dalam semakan oleh MSCI, risiko terhadap autonomi bank pusat serta perubahan dasar eksport komoditi. Won Korea Selatan pula susut lebih satu peratus kepada 1,549.10 bagi setiap dolar AS, paras yang kali terakhir dilihat pada Mac 2009, didorong oleh jualan saham Korea oleh pelabur asing. Data bursa menunjukkan pelabur asing telah menjual saham bernilai AS$75 bilion setakat tahun 2026. Kelemahan berterusan won mendorong bank pusat memberi isyarat bahawa ia mungkin beralih kepada pendirian dasar monetari yang lebih ketat bagi mengekang inflasi, manakala menteri kewangan berjanji akan mengambil langkah untuk mengawal turun naik mata wang yang berlebihan. "Walaupun asas ekonomi negara adalah kukuh dan semakin baik, aliran keluar dana asing ini menolak kadar USD/KRW lebih tinggi. Jika aliran keluar tersebut berterusan, won mungkin terus berada di bawah tekanan untuk beberapa ketika," kata pakar strategi kadar faedah dan pertukaran asing Asia Pasaran Membangun di BNP Paribas, Chandresh Jain. Di Filipina, pasaran saham meningkat 1.3 peratus selepas data menunjukkan inflasi pada Mei menjadi lebih perlahan, sebahagian besarnya disebabkan kenaikan harga makanan yang lebih sederhana. Negara itu juga sebelum ini mengumumkan bahawa peruncit bahan api akan menarik balik sebahagian kenaikan harga yang dilaksanakan baru-baru ini. -Reuters © New Straits Times Press (M) Bhd

#ekonomi#dolar

📌 Kaynak

Bu özet Berita Harian (MY) kaynağından otomatik derlenmiştir. Tamamı için orijinal habere gidin.

Orijinal haberi oku →
← Tüm haberlere dön