Najib dapat sebahagian dokumen dalam kes saman AS$8 bilion oleh 1MDB
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan sebahagian dokumen berkaitan kes saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya dan tujuh yang lain bagi menuntut ganti rugi AS$8 bilion. Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Redzuan Idrus membuat keputusan itu selepas mendapati dokumen yang dimohon bekas perdana menteri adalah jelas relevan dan perlu bagi pelupusan adil saman berkenaan. Daripada 20 dokum
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan sebahagian dokumen berkaitan kes saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya dan tujuh yang lain bagi menuntut ganti rugi AS$8 bilion. Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Redzuan Idrus membuat keputusan itu selepas mendapati dokumen yang dimohon bekas perdana menteri adalah jelas relevan dan perlu bagi pelupusan adil saman berkenaan. Daripada 20 dokumen yang dipohon Najib, Mohamad Redzuan membenarkan hanya lima sahaja dokumen untuk diserahkan kepadanya yang dinamakan sebagai defendan pertama. Mohamad Redzuan membenarkan Najib mendapatkan senarai lengkap semua wang, aset atau harta yang dipulihkan, dikembalikan, direpatriasi atau direalisasikan dan semua dokumen yang membuktikan atau merekodkan apa-apa pemulihan, repatriasi, restitusi atau pemulangan wang atau aset itu. Saman berkenaan adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan 1MDB bagi menuntut lebih AS$23 bilion terhadap beberapa individu yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan berprofil tinggi itu. Najib pihak dalam saman Dalam penghakimannya, Mohamad Redzuan berkata, oleh kerana Najib adalah pihak dalam saman itu, beliau berhak mengetahui khususnya dokumen dan butiran mengenai jumlah yang telah dipulihkan dan keadaan di mana jumlah itu diperoleh. "Lebih penting lagi, penafian menyeluruh plaintif mengenai pemilikan dokumen bercanggah dengan pengakuan mereka sendiri dalam afidavit mereka. "Mereka secara jelas mengakui bahawa mereka mempunyai sebahagian daripada dokumen berkenaan," katanya. Mohamad Redzuan bagaimanapun tidak membenarkan Najib mendapatkan keseluruhan dokumen dengan alasan ia boleh menceroboh ruang lingkup rundingan sensitif negara dan perkara yang berkaitan bantuan perundangan bersama. Katanya, mahkamah bersetuju dengan plaintif bahawa permintaan bagi semua dokumen, semua surat-menyurat dalaman dan semua dokumen yang mengenal pasti asas fakta atau undang-undang bagi pemulihan adalah terlalu luas dan usaha mencari maklumat yang tidak dibenarkan. Perintah perlindungan Sementara itu, mahkamah turut membenarkan permohonan plaintif untuk mengenakan perintah perlindungan terhadap semua dokumen yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu. Ia menjadikan semua dokumen itu tidak boleh didedahkan kepada sesiapa kecuali Hakim atau Pesuruhjaya Kehakiman, kakitangan mahkamah, pihak dalam kes saman itu dan peguam masing-masing. Ia hendaklah disimpan secara sulit dan digunakan semata-mata bagi tujuan prosiding kes saman berkenaan. Dokumen itu juga tidak boleh diakses untuk pemeriksaan awam (dan) hanya versi dokumen yang telah disunting yang disahkan oleh plaintif, boleh difailkan secara elektronik. 15 defendan termasuk Najib Pada 7 Mei 2021, writ saman terbabit pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib. Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited. Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram. Defendan lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil. Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan. Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi. © New Straits Times Press (M) Bhd
📌 Kaynak
Bu özet Berita Harian (MY) kaynağından otomatik derlenmiştir. Tamamı için orijinal habere gidin.
Orijinal haberi oku →