.Feast janji kejutan pada konsert dua malam di KL
KUALA LUMPUR: Pertama kali mementaskan konsert solo di Malaysia pada Pertunjukan Membangun & Menghancurkan di sini, selama dua malam, mulai hari ini, kumpulan rock alternatif Indonesia, .Feast menjanjikan persembahan istimewa buat peminat tempatan. Acara yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur di sini, itu turut menjadi destinasi penutup bagi siri konsert jelajah album ketiga kumpulan berkenaan, Membangun & Menghancurkan yang dilancarkan pada 2024. Mengulas mengenai konse
KUALA LUMPUR: Pertama kali mementaskan konsert solo di Malaysia pada Pertunjukan Membangun & Menghancurkan di sini, selama dua malam, mulai hari ini, kumpulan rock alternatif Indonesia, .Feast menjanjikan persembahan istimewa buat peminat tempatan. Acara yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur di sini, itu turut menjadi destinasi penutup bagi siri konsert jelajah album ketiga kumpulan berkenaan, Membangun & Menghancurkan yang dilancarkan pada 2024. Mengulas mengenai konsert itu, pemain bes .Feast, Fadli Fikriawan berkata, Malaysia menjadi destinasi istimewa buat mereka berikutan sokongan diterima sangat luar biasa. "Kita boleh anggap Malaysia sebagai rumah kedua atau mungkin rumah ketiga selepas Surabaya. "Jadi, setiap kali datang ke sini, kami anggap ia seperti persembahan di tempat sendiri kerana suasananya memang terasa seperti di rumah," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Fadli berkata, komuniti peminat di negara ini yang menggelarkan diri mereka sebagai Kelelawar Malaysia antara penyokong kuat terhadap karya .Feast. Tambahnya, Kelelawar Malaysia sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti selain menunjukkan semangat komuniti yang sangat kuat terhadap muzik mereka. "Antara komuniti peminat terbesar dan paling aktif yang kami miliki adalah di sini, iaitu komuniti Kelelawar Malaysia. "Walaupun peminat kami di Jakarta ramai, Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, adalah antara lokasi yang mempunyai kelompok peminat terbesar. "Sebab itu kami pilih untuk menutup era Membangun dan Menghancurkan menerusi konsert di Malaysia. Kami juga ada sedikit kejutan untuk peminat di sini, tetapi buat masa ini masih dirahsiakan," katanya. Sementara itu, Vokalis .Feast, Baskara Putra berkata, penganjuran konsert selama dua malam memberikan cabaran tersendiri kepada mereka dalam memastikan setiap persembahan dapat dijayakan dengan lebih segar dan berbeza. Menurut Baskara, selain mengekalkan elemen persembahan sama seperti pernah diadakan di Jakarta dan Surabaya, persembahan di Kuala Lumpur akan dijayakan dengan beberapa kelainan dan pembaharuan. "Kami ada dua hari dan dua persembahan, itu sendiri sudah menjadi satu cabaran untuk menyusun segala perancangan. "Kami juga perlu fikir bagaimana memastikan persembahan kedua kekal segar dan berbeza. "Sama seperti pendekatan yang kami lakukan di Jakarta dan Surabaya, persembahan di Kuala Lumpur juga akan mempunyai keistimewaan tersendiri," katanya. Baskara berkongsi, proses menghasilkan album Membangun dan Menghancurkan sebenarnya berlaku ketika hubungan sesama anggota kumpulan berada pada tahap paling mencabar. Malah, katanya, mereka pernah menyangka album berkenaan bakal menjadi karya terakhir sebelum kumpulan yang ditubuhkan pada 2013 itu, dibubarkan. "Ketika itu, kami sebenarnya sangka album ini akan menjadi produk terakhir sebelum kami berpisah. Kami hampir bubarkan kumpulan. "Ketika itu, sudah tiada lagi keserasian antara kami. Selepas 12 tahun bersama, keserasian itu seolah-olah hilang. "Malah, saya rasa tempoh yang panjang bersama-sama itu sedikit sebanyak memburukkan lagi keadaan ketika itu." Selain Fadli dan Baskara, .Feast dianggotai Adnan Satyanugraha iaitu pemain gitar dan Dicky Renanda ( gitar). Sejak awal kemunculan, kumpulan ini dikenali dengan karya yang sarat dengan pemerhatian sosial serta penulisan lirik yang tajam. Pertunjukan Membangun & Menghancurkan berasaskan album ketiga mereka yang memuatkan sebanyak 15 trek itu merakam perjalanan peribadi setiap ahli sepanjang sedekad lalu. Album Membangun & Menghancurkan turut dinobatkan sebagai Album Rock Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2025. Terdahulu, .Feast pertama kali membuat persembahan di Malaysia menerusi festival muzik, TAPAUfest yang diadakan di Lenggong, Perak pada 2022. .Feast kemudian membuat persembahan menerusi konsert Here Comes The Sun Eater di Zepp Kuala Lumpur pada 2023. Pada Latihan Pestapora Malaysia yang menghimpunkan pemuzik Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu, .Feast juga menjadi antara kumpulan yang membuat persembahan. © New Straits Times Press (M) Bhd
📌 Kaynak
Bu özet Berita Harian (MY) kaynağından otomatik derlenmiştir. Tamamı için orijinal habere gidin.
Orijinal haberi oku →